Cintakan kekasih hanya sementara, Cintakan dunia tidak membawa ke mana, Cintakan ibu membawa ke syurga, Cintakan Allah kekal selamanya.
Cinta, kerinduan, dan keredaan, merupakan tiga perkara yang saling berkaitan antara kehidupan di dunia dengan akhirat. Cinta bagaikan sebatang pokok yang cantik, akarnya kukuh, cabang- cabangnya menjulang ke langit, buahnya menghiasi hati dan menjernihkan jiwa. Tanpa cinta (mahabbah) kehidupan manusia akan kaku membeku.
Pelbagai rentetan peristiwa dan dugaan terpaksa diharungi oleh hamba-Nya untuk meneruskan kehidupan. Malah apabila wujud kesenangan, manusia terlupa untuk bersyukur kepada-Nya, dan apabila didatangi kesusahan pula, manusia sibuk mencari sejadah; bersujud, dan menangis memohon keampunan dan melafazkan pelbagai doa bagi menggembirakan hati.
Mengapakah Allah s.w.t. sering menduga hamba- Nya? Mungkinkah selama ini hamba-Nya itu terlalu menjauhkan diri daripada-Nya atau berkemungkinan hamba-Nya itu leka dan lalai dengan aktiviti rutin seperti kesibukan bekerja tanpa menghiraukan wujudnya Allah s.w.t. Kita yakin wujudnya Allah s.w.t., tetapi masih melakukan kesalahan seolah-olah tidak meyakini bahawa Allah s.w.t. melihat akan segala perbuatan kita.
Begitulah, betapa sayangnya Allah s.w.t. kepada hambanya, tetapi hamba-Nya sedikit pun tidak menggunakan hati, lidah dan bibir yang manis untuk bersyukur kepada-Nya.
Cinta Allah s.w.t. kepada hamba-Nya dengan memberikan pelbagai cubaan dan dugaan kepada manusia. Jika hamba-Nya bersabar, maka Allah s.w.t. akan memilihnya antara manusia yang bertuah. Dan jika dia reda, Allah akan menjadikan dia sebagai pilihan-Nya. Begitulah, betapa sukarnya untuk menjadi hamba yang dicintai Allah azzawajjala.
Situasi antara mencintai makhluk dengan mencintai Allah s.w.t. amat berbeza sekali. Cinta sesama manusia hanya datang dan pergi dengan sekilas pandangan. Kadangkala kita terlupa tujuan sebenar kehidupan di dunia ini.
Adakah segala-galanya yang kita lakukan di dunia ini semata-mata untuk Allah s.w.t., atau hanya ingin mencari keredaan-Nya. Itu bergantung kepada persepsi kita yang hidup di muka bumi ini. Manusia perlu mengingati bahawa setiap musibah yang datang, kerana Allah s.w.t. menyayangi kita sebagai hamba-Nya dan jadikanlah ia sebagai satu latihan yang dapat mendewasakan kita dalam mengharungi kehidupan di dunia ini.
Hamba-Nya yang sering memperbaiki diri daripada kesalahan akan sentiasa cuba menunaikan hak- hak Allah s.w.t. di muka bumi ini sehingga suatu masa ia akan memperoleh cinta, kerinduan, dan mendapat keredaan daripada Allah s.w.t. Fikirkanlah sejenak betapa indahnya kehidupan di dunia ini jika manusia mengikut aturan-aturan Islam dan mengakui sepenuh hati dalam mencintai Ilahi.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan ingatlah akan hari (yang pada waktu itu) Allah mengumpulkan mereka, (mereka merasa pada hari itu) seakan-akan mereka tidak pernah tinggal (di dunia) hanya sesaat saja pada siang (pada waktu itu) mereka saling mengenali. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah dan mereka tidak mendapat petunjuk. (Surah Yunus: 45)
Oleh hal yang demikian itu, singkapkanlah rupa peribadi kita yang sebenar kerana matahari pun tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, apatah lagi kita sebagai hamba-Nya haruslah mengambil peluang selagi masih bernyawa dalam mencari cinta yang sebenar. Carilah cinta yang sebenar sehingga masuk ke dalam lukah cinta-Nya.