Menuntut ilmuIlmu pengetahuan adalah punca kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa. Disebabkan itu, umat Islam digalakan supaya berlumba-lumba dengan bangsa lain bagi menuntut ilmu untuk kemajuan dan kebaikan masa depan. Ini kerana hanya dengan ilmu pengetahuan, yang dapat menjamin kemajuan dan ketinggian umat Islam.Umat maju dan tinggi taraf hidupnya kerana mereka dapat menguasai ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Umat mundur kerana jahil dan tidak berilmu pengetahuan. Demikianlah perbandingan yang ketara antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.Dalam sebuah hadis, Abi Darda berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda:Sesiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntut ilmu dalamnya pengetahuan, Allah membuka baginya satu jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat menghentikan sayapnya tanda hormat kepada penuntut ilmu pengetahuan dan sesungguhnya seorang alim memohon baginya siapa yang ada di langit dan siapa yang ada di bumi hingga ikan di air. Dan keutamaan seorang alim ke atas orang biasa umpama keutamaan bulan ke atas cakerawala yang lain. Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi. Sesungguhnya Nabi tidak meninggalkan wang ringgit, bahkan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Maka sesiapa yang mengambilnya mendapat keuntungan banyak. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)Firman Allah yang bermaksud:Allah mengangkat darjat (kedudukan) mereka yang beriman daripada kamu dan mereka yang menuntut ilmu pengetahuan. (Surah Al-Hujurat, ayat 11)Demikianlah pentingnya menuntut ilmu dan bergunanya pada orang Islam sehingga ia diletakkan pada taraf wajib. Ini dijelaskan sebuah hadis daripada Anas bin Malik, katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud:Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Dan orang yang meletakkan ilmu bukan pada tempotnya adalah seperti orang yang menghias babi-babi dengan permata dan mutiara dan emas. (Riwayat Ibn Majah dan lainya)