Monday, April 24, 2006
Keihlasan
TIADA yang lebih menyakitkan hati seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain. Sebagai hamba Allah, pernahkah kita bertafakur mengenai konsep cinta dan cemburu dalam konteks pengabdian diri kepada-Nya?
Adakah Allah cemburu dan relakah Dia diduakan dan mempunyai sekutu?
Seorang hamba yang dekat dengan Tuhan amat teliti dalam menjaga perhubungan hatinya. Dia hanya mahu memenuhi hatinya dengan kehadiran Allah.
Muraqabatullah seperti ini yang ditunjukkan oleh Rabiah al-Adawiyah ketika berkata: "Sungguh aku jadikan Engkau Rabbku dalam hatiku, sedangkan tubuhku aku biarkan duduk dengan sesiapa saja."
Jiwa dan raga adalah milik-Nya. Pesona kebesaran Allah amat mempengaruhi gerak hati dan tubuh seseorang seperti dinyatakan dalam hadis qudsi bermaksud: "Jika aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya, untuknya ia mendengar dan Aku menjadi pandangannya untuk melihat dan Aku menjadi tangannya untuk memegang dan Aku menjadi kakinya untuk berjalan, maka apa-apa yang dia minta kepada-Ku nescaya Aku kabulkan permintaannya dan jika dia minta perlindungan daripada-Ku, maka Aku pasti akan lindungi dia." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bukan sebarang orang akan dapat keutamaan yang amat istimewa seperti itu. Kemurnian cinta kepada Allah saja yang dapat menaikkan dirinya pada kedudukan yang amat mulia di sisi-Nya.
Konsep ikhlas mencintai Allah telah lama menjadi keutamaan dalam amalan sahabat Rasulullah SAW. Pernah suatu ketika Umar bertanya kepada Muaz bin Jabal: "Mengapa engkau menangis wahai Muaz? Lalu beliau pun menjawab: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sedikit saja riak itu adalah syirik."
Demikian juga ketika Saad bin Abi Waqqash meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang takwa dan menyembunyikan dirinya (amalnya)." (Hadis riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam Syarah Hadis Arba'in ada menerangkan makna ikhlas iaitu gerakan hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah dan menyatakan tunduk patuh hanya kepada perintah-Nya. Begitu halusnya setiap amal akan dinilai di hadapan Allah.
Barang siapa yang masih memiliki niat lain dalam ibadatnya selain daripada Allah, maka amalnya itu akan diganjari menurut niatnya dengan seadil-adilnya. Amalan ikhlas mempunyai peringkat yang berlainan kedudukannya sesuai dengan keadaan seseorang.
Pertama, ikhlas peringkat permulaan iaitu seseorang berusaha membersihkan amalnya daripada perasaan riak dan kepentingan diri peribadi.
Ia beramal dengan tujuan keredaan Allah dan bermatlamat mendapatkan ganjaran yang dijanjikan-Nya serta terhindar daripada azab-Nya.
Hamba Allah ini begitu teliti dalam setiap amalannya. Doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW menjadi kekuatan amalannya.
Doa itu: Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada berbuat syirik dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami memohon ampun kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang tidak kami ketahui."
Menurut Rasulullah SAW, barang siapa yang mengamalkan doa ini maka Allah akan membersihkan amalannya daripada syirik dan riak.
Peringkat kedua, ikhlas orang yang tinggi kecintaannya kepada Allah.
Mereka beramal bukan kerana pahala semata-mata, bahkan bertujuan membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Dalamnya makrifat kepada Allah membuat hamba ini tidak peduli dengan perhitungan pahala dan ancaman seksa. Hal ini kerana bagi mereka ketajaman mata hati melihat kebesaran Allah dan perasaan khusyuk serta tunduk pada kebesarannya adalah lebih penting daripada syurga dan neraka.
Seperti seorang kekasih yang reda menerima apa saja yang diberikan kekasihnya kerana cintanya begitu murni tanpa sebarang kepentingan. Keikhlasan hamba Allah ini tidak pernah surut walaupun ujian daripada-Nya sentiasa datang. Ibadat mereka tetap berterusan tidak berkurangan disebabkan ujian Allah. Kerana mereka tidak mengharapkan keuntungan semata-mata daripada ibadat itu, hanya keredaan Allah dan cinta-Nya yang menjadi kekuatan.
Terakhir adalah jika kita sampai pada peringkat ikhlas yang tertinggi iaitu bersandar pada kalimat 'La hawla Wala Quwwata Illa Billah' (Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah).
Ibadat yang dilakukan adalah gerakan daripada kuasa Allah, bukan kuasa peribadi. Allah yang menggerakkanku ketika solat, berdoa, puasa dan sedekah. Kerana pertolongan Allah saja yang membuat aku berada pada rahmat-Nya. Kerana Dia berkehendak menolong dan memberi hidayah kepadaku, maka aku menjadi hamba pilihan-Nya.
Tidak ada sedikit pun perasaan sombong dengan amalan yang dikerjakan kerana kita tahu semua itu adalah kerana gerakan daripada Allah semata-mata. Sesuai dengan firman-Nya: "Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun antara kamu menjadi bersih selama-lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 21)
Semoga Allah S.W.T Memberkati Dan Merahamati Kita Semua
3:02 PM
Alhamdulillah