Image Hosted by ImageShack.us

Wednesday, June 07, 2006



Mahar Cinta Vs Kerana Cinta



Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah
menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda
kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan
isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri
supaya kamu dapat hidup tenang bersama
mereka
dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara
kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-
tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”




ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk
merealisasikan percintaan sesama lelaki dan
perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat
percintaan yang mana orang Islam hendaklah
mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara
kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur
maksiat dan perkara-perkara yang dapat
membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga
peringkat tersebut adalah cinta sebelum
perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta
selepas perkahwinan.

Cinta Sebelum Kahwin


Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang
hadir daripada pergaulan harian dengan individu
yang mempunyai kesamaan daripada segi cita
rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya
cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir
secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang
dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan
pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan
biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana
dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke
kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan.
Walau bagaimanapun, jika percintaan itu
mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa
pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang
sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan
takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan
memelihara perkara-perkara berikut:

1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak
menyentuh sesama sendiri, tidak membuang
masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-
bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka
seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan.
Mereka harus sedar dan berasa malu kerana
mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke
atas satu sama lain.

2.Menghormati maruah dan harga diri masing-
masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan
diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang
yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak
berhias-hias atau menampakkan perhiasan di
hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh
menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-
baiknya sebarang pertemuan hendaklah
melibatkan mahram atau ibu bapa yang
mengawasi tingkah laku mereka.

3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa
adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum
perkahwinan. Restu daripada ibu bapa
memudahkan proses pertunangan dan pernikahan
yang akan berlangsung sebagai kelangsungan
daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan
peranan dengan memastikan anak-anak tidak
melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan
akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.

4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya
percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati
Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu
dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi
dan kesempurnaan agama dengan mendirikan
rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta
itu.

5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi
meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu
adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup
sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai
seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya,
tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan
akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya
individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan
pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan
percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga
yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat
untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin
bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan
itu
adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu
mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.


Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih,
bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda
adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai
hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan
kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih
hendaklah berasa malu untuk
mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana
belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut
oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat
dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-
perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat
suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan
akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila
berada
di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang


Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan
hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke
jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang
dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk
berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta
yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan
besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang
datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati
dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang
dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah
terjebak
kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada
pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan
tidak digalakkan untuk tempoh yang lama
mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak
perlu dihebohkan kepada semua orang kerana
dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi
melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin.
Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum
diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala
perhubungan antara lelaki dan perempuan.
Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan
tempoh memadu asrama. Maka orang yang
sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-
batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’
untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan
sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka
belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak
perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-
hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa
menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda
dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin


Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan
sebagai yang terbaik dan sumber segala
kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang
dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-
Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya
ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu
dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat
hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya
cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam
yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang
menggunakan fikiran”.


Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang
diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta
seharusnya berputik mekar selepas pasangan
suami isteri itu mendapat mandat yang agung
untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf
oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi
menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka
pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-
hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai
dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara
cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu
adalah:

1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih
sayang, pengorbanan dan kesungguhan
memuliakan pasangan dan rumah tangga yang
dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa
saling hormat-menghormati, menghargai perasaan
dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan
keluarga dan berusaha memelihara amanah dan
janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang
terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai
zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak
terburu-
buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha
dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat
baik secara tradisional mahupun secara
perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah
mengambil anak angkat sebagai langkah
alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga
pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga
yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah
pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik
mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan
penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk
bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan
untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Seharusnya Cinta…


Insan yang beriman sering kali meletakkan
sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah.
Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka
bersikap tenang dan menyerah diri kepada
ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin
cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang
dapat menganugerahkan atau menghapuskan
cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan
setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab
kewujudannya, yang sering kali tidak cuba
difahami oleh manusia.


Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat
didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali
kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk
menyembah dan melakukan ketaatan kepada
Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama
sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada
mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang
menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian,
Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap
mengupas persoalan cinta sebagai sumber
kedamaian hati dan keamanan dunia.


Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada
setiap individu yang berani untuk melibatkan
dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air
mata, aliran perasaan yang amat deras dan
getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh
dengan keindahan, keselesaan, kehalusan
perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun
rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya
melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan
perempuan sahaja tetapi juga melibatkan
perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia
dan alam, serta manusia dan perbuatan.

Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat
mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan
dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan,
dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka
memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang
wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran
mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam
menangani soal percintaan. Penderitaan,
penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan
sebagai
sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati,
tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi
kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan
yang sebenarnya.




12:21 AM
Alhamdulillah