Tuesday, September 05, 2006

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi. Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.." Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji... .
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi,lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada.
Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.
Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian.
Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.
Wallaua'lam...
Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang terbaik...
Sumber Dari: Agama Corner
7:32 PM
Alhamdulillah

Redha

Redha? Apa itu redha sebenarnya? Bagaimana untuk redha? Kita kadang2 tak terfikir untuk meredhakan sesuatu perkara yang berlaku pada diri kita atau orang2 yang hampir dengan kita. Lagi2 perkara yang berlaku tu berkaitan dengan diri kita sendiri. Perkara yang kita tak sangka2 berlaku pada diri kita ataupun pada orang2 yang kita sayang...
Kita paling tidak pun akan mencari sesiapa sahaja atau apa sahaja untuk dipersalahkan tentang sesuatu perkara yang kita fikir mustahil berlaku pada diri kita dan orang2 yang kita sayangi... Bagaimana agaknya kalau semua yang kita mahu dan semua yang kita suka kita dapat tanpa ada apa2 pengorbanan ya? Aman damai kah hidup kita? Atau kita semakin lupa dan lalai... Mana tidaknya apa sahaja yang kita inginkan akan dapat. Apa sahaja yang kita hajatkan akan termakbul... Sebenarnya di muka bumi Allah ni tidak ada yang mustahil. Fikirkan kembali... Kehidupan ini kalau sentiasa gembira dan berada dalam keadaan senang, menang dan kenyang, bagaimana tulang empat kerat kita ni nak berfungsi? Bagaimana otak kita nak berjalan? Tak ada challange langsung la kehidupan kita ni.
renungkan dan fikirkan kata kata ini...
"Janganlah kerana terlambatnya pemberian Allah itu walaupun engkau telah berdoa bersungguh-sungguh menyebabkan engkau putus asa. Maka ketahuilah, bahawa Allah telah menjamin untuk memperkenankan segala permintaanmu berdasarkan yang telah dipilihNya untuk engkau, bukan atas apa yang engkau pilih untuk dirimu, dan pada waktu yang sudah dikehendakiNya untuk engkau, bukan pada waktu yang engkau kehendaki."
Renungkanlah...
4:41 PM
Alhamdulillah