Image Hosted by ImageShack.us

Tuesday, November 28, 2006


Nilai Tudung Wanita


Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

sumber dari:
Nilai Tudung Wanita





10:42 PM
Alhamdulillah

Friday, November 24, 2006

Berubah Mencari Kehidupan Lebih Baik


Hidup ini memerlukan perubahan ke arah lebih baik dalam semua keadaan. Kualiti kehidupan, baik yang berkaitan kehidupan di dunia maupun di akhirat, perlu ditingkatkan setiap masa. Sikap mudah berpuas hati dan tidak mahu berusaha lagi perlu dibuang jauh-jauh.


Tuntutan memperbaiki diri meliputi semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik lagi. Kehidupan ini tidak sepatutnya dibiarkan statik biarpun telah berada di tahap yang baik.


Usaha ke arah itu memerlukan satu daya kesedaran yang berterusan untuk membentuk kemampuan yang boleh melonjakkan diri melepasi halangan yang terbentuk dalam diri dan persekitaran.


Tidak dinafikan, usaha untuk berubah bukan satu perkara yang mudah. Terdapat banyak halangan yang menjadikan usaha itu terbantut. Sebab itu, berubah kepada kebaikan termasuk dalam tugas jihad. Semangat yang teguh diperlukan untuk berubah.


Halangan biasa menjadikan manusia tidak berdaya berubah memperbaiki diri ialah sifat malas, kejahilan, nafsu dan kurang keyakinan diri. Tambah lagi, syaitan sentiasa membisikkan dalam diri agar meninggalkan kebaikan, dan sebaliknya melakukan kejahatan.


Selain halangan dalam diri, terdapat juga halangan persekitaran yang menggagalkan niat untuk berubah. Halangan itu biasanya pengaruh rakan, budaya masyarakat, tiada sumber kewangan dan kejadian semuajadi di sekeliling.


Kejayaan tidak mungkin dicapai jika sekadar melakukan usaha separuh hati dan tanpa perancangan yang teliti. Individu yang ingin berubah menuju kehidupan dengan lebih nilai kebaikan perlu menanam tekad, iltizam, keazaman dan keikhlasan yang kuat untuk melakukannya.

Bertaubat juga sebahagian daripada cara untuk memperbaiki diri. Sesiapa yang bertaubat bermakna berubah dari keadaan berdosa kepada diampunkan dosanya. Orang yang bertaubat juga berubah meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan sebelum itu.

Maksud hadis Rasulullah: ?Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan perbuatan dosa.? (Hadis riwayat Ahmad).


Niat dan usaha hendak memperbaiki diri perlu dilakukan sedari awal dan tidak hanya menanti apabila usia memasuki usia senja. Banyak orang memberi alasan ingin bebas berseronok ketika usia muda.

Usia muda masa terbaik untuk mengumpul lebih banyak pahala. Ketika itu tenaga masih kuat. Daya ingatan tajam dan mudah mengingati apa yang dilakukan. Semangat orang muda juga berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang diingini.


Orang muda biasanya belum mengidap penyakit berbahaya yang biasanya menghalang seseorang daripada bergerak bebas. Ketika usia muda, tumpuan lebih dapat diberikan untuk membina landasan kehidupan yang lebih baik.


Peluang ini wajar direbut sepenuh sebelum tiba masa tua yang mana lebih banyak halangan untuk beribadat seperti kurang tenaga, penyakit, ingatan tidak tajam, dan tanda-tanda lain yang dikaitkan dengan usia tua.

Malah, banyak orang yang menghabiskan hari tua dalam keadaan nyanyuk. Dalam keadan begitu bagaimana hendak memperbanyakkan ibadat. Urusan kehidupan yang biasa pun tidak dapat diuruskan dengan baik.

Masa muda termasuk perkara yang perlu direbut sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud: Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; iaitu masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu. (Hadis riwayat Tirmizi).


Usaha untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa.

Tambahan, usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki.

Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut.

Sabda Rasulullah bermaksud: Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan.


Penyakit nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.

Sabda Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau. (Hadis riwayat Hakim).


Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan.


Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan.

Berubah meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila diri sudah berada pada hari pembalasan.

Renungkanlah FirmanNya yang bermaksud: "Adakah kamu suka dengan kehidupan didunia ini dari akhirat? Maka tak adalah kesukaan hidup didunia, diperbandingkan dengan akhirat, melain sedikit sekali. {At-Taubah:38}



Sesiapa juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya.

Mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan.

sumber dari:

Berubah Mencari Kehidupan Lebih Baik






8:52 AM
Alhamdulillah

Sunday, November 12, 2006

Penantian


terpegun seketika bila baca blog yang ku terjumpa masa search2.. banyak kata2nya yang telah membuat diri ini terdiam seketika. Di sini ku ingin menulis tentang apa yang ku ingin sampaikan kepada semua. tersenyum bila dengar sahabatku Nadiah, bila dia kata "tapi kan kak, mak saya kata, lebih lama orang tu tunggu, dia akan dapat yang terbaik tau kak" memang benar.. jangan bimbang atau runsing jika kita belum bertemu dengan seseorang yang bakal menjadi pasangan hidup kita.. Allah telah menentukan jodoh pada setiap hambaNya. insyaAllah. syahdu benar bila dengar lagu Permata Yang Dicari - Dehearty.. Biar lambat.. asal permata yang dicari itu yang terbaik buat kita. ameen~




10:17 PM
Alhamdulillah

Saturday, November 04, 2006





Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah, diantara keduanya ialah orang yang paling besar cintanya kepada saudaranya." - Ibnu Hibban dan Al-Hakim

Sahabat...
rasa cinta adalah fitrah manusia. Kerananya, percintaan adalah rentangan waktu kehidupan manusia yang akan mereka lalui dengan keindahan dan haru biru. Cinta yang tulus, insyaAllah akan menyelamatkan manusia dari api neraka yang maha dahsyat panasnya.

Cinta tulus, terbesar dan hakiki adalah cinta kepada Allah. Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah Saw. melalui Anas ra., "Ada tiga perkara yang barangsiapa dalam dirinya terdapat ketiga perkara itu, dia pasti merasakan manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain; mencintai seseorang tiada lain hanya kerana Allah; dan tidak ingin kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah sebagaimana dia tidak ingin kalau dicampakkan ke dalam api."

Sahabat...
Sesungguhnya persaudaraan kita merupakan buah dari ketinggian akhlak, dan tafarruq (perselisihan) kita merupakan akibat dari rendahnya akhlak. Akhlak yang bagus membuahkan rasa saling cinta, saling sayang, dan saling memberikan manfaat. Kerana itu, cinta melahirkan ukhuwah. Ukhuwah yang telah digambarkan secara mengharukan oleh Bilal, Amar dan Zaid, atau Umar, Ali dan Utsman, yang bersanding dan bercinta kerana Allah. Kasih sayang diantara mereka merupakan gambaran janin ukhuwah yang dikandung dalam
perut iman, dan terlahir dari ibu yang bernama iman.

Ukhuwah bererti bersatunya hati-hati yang ruhnya terikat dengan ikatan akidah. Kerananya, persaudaraan adalah bentuk keimanan yang terikat dengan akidah yang amat kuat. Sementara perpecahannya adalah gambaran kekufuran, yang menempatkan keimanan dan kasih sayang di tempat sampah. Oleh kerana itu, manusia yang benar fikrahnya adalah manusia yang melihat
saudaranya lebih utama dibanding dirinya sendiri. Jika perkara ini terjadi, ukhuwah akan terasa sangat indah, nikmat, dan manis.

Sahabat...
Persaudaraan dan saling mencintai kerana Allah adalah salah satu ibadah yang paling utama dalam agama kita. Siapapun yang berupaya mewujudkannya, tiada perkara lain baginya kecuali syurga yang maha indah. Rasulullah Saw bersabda, "Barangsiapa bersaudara dengan seseorang kerana Allah, maka Allah mengangkatnya satu darjat di syurga, yang tidak didapatnya dengan sesuatu amalan lainnya".

Ibnu Jarir pun meriwayatkan sabda Rasulullah Saw. dari Ibnu 'Abbas ra., ia berkata, "Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah, membela seseorang kerana Allah, dan memusuhi seseorang kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan dari Allah boleh diperoleh dengan perkara tersebut. Seorang hamba tidak akan menemukan nikmatnya iman, sekalipun banyak sholat dan shaum, sehingga dia bersikap demikian. Persahabatan diantara manusia pada umumnya didasarkan atas
kepentingan dunia, namun perkara itu tidak berguna sedikitpun bagi
mereka."

Sahabat...
Cinta seorang Mukmin adalah kekuatan. Ia bagaikan perekat yang mengikat batu bata individu Muslim dalam sebuah bangunan yang kukuh dan tidak mudah roboh. Allah Swt. Berfirman; " Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." Q.S Al-Hujurat : 10

Sementara itu, Rasulullah Saw bersabda, "Mukmin yang satu terhadap Mukmin yang lain itu bagaikan bangunan yang mengikat antara sebagian dengan sebagian yang lainnya." hari. Muttafaqun 'Alaih

Sahabat...
Persaudaraan Islam bukanlah suatu permasalahan sampingan dalam Islam, tetapi ia menjadi salah satu prinsip dasar yang menyertai syahadah (persaksian) terhadap keesaan Allah dan kesaksian terhadap kerasulan Muhammad Saw. Persaudaraan merupakan buah dan konsekuensi keimanan yang amat sangat indah. Kerana itu, kita harus sama-sama yakin bahawa keindahanNya qadim. KeagunganNya tinggi. Kekuasaan dan penguasaanNya Maha Dahsyat. KeindahanNya berpadu dengan kemuliaan. KeagunganNya berpadu dengan keluhuran. KebesaranNya tidak pernah berakhir. KeindahanNya pesona hati. KeagunganNya meningkatkan cinta. Sungguh, tiada cinta yang hakiki kecuali cintaNya kepada kita sebagai makhlukNya, dan
cinta kita kepadaNya. Adakah kita merasakan semuanya? Wallahualam.

Yesterday is history, Tommorow's a mystery, Today's a gift, That's why we call it the Present.

"Each day I wake in gratitude. Thanking Allah, He let me rise, And To Him I only, Seek His assistance."

sumber dari:
Cinta





5:03 PM
Alhamdulillah